Wednesday, January 11, 2012

Jeruk Pak Ali Menang Anugerah

Berita Utara


December 18, 2011 13:20 PM
Syarikat Jeruk Madu Pak Ali Menang Anugerah Usahawan Terbaik Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 18 Dis (Bernama) -- Pengilang jeruk terkenal di Pulau Pinang, Jeruk Madu Pak Ali Enterprise dianugerahkan sebagai Usahawan Bumiputera Terbaik di negeri ini.

Peneraju syarikat, Alias Ali, 37, berkata perniagaan yang diwarisi dari bapanya Ali Omar hanya berkembang pesat sejak tiga tahun lepas dengan modal tambahan sebanyak RM30,000 untuk mengembangkan perniagaan.

"Sudah 20 tahun bapa berkecimpung dalam perniagaan jeruk ini. Kami bersyukur dengan pencapaian syarikat sekarang yang mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM5 juta setahun.

"Saya sangat berterima kasih pada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang telah banyak menabur jasa kepada syarikat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera peringkat negeri di sini, malam Sabtu.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Alias berkata syarikatnya kini memiliki dua buah kilang masing-masing di Tasek, Seberang Perai dan Putatan, Sabah serta memiliki 18 cawangan di seluruh negara.

"Jeruk keluaran syarikat kami turut dipasarkan ke luar negara seperti Arab Saudi, Ireland dan Holland," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nor Mohamed Yakcop berkata usahawan Bumiputera peringkat mikro perlu mengorak langkah agresif dengan merebut peluang yang disediakan kerajaan melalui pelbagai program transformasi ekonomi bagi memperkembangkan perusahaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Terbaru pada Julai lepas, kerajaan dengan kerjasama Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta telah membangunkan satu program khas yang dinamakan Teras bagi membangun usahawan Bumiputera di dalam kesemua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Diharapkan usahawan bumiputera dapat maju ke hadapan dan merebut peluang-peluang ini," katanya.

-- BERNAMA